Carian

Modul eLANDSKAP

  • March 12, 2025
  • Informasi
  • 5121

Terdapat sembilan (9) modul eLANDSKAP disediakan iaitu:

DIREKTORI TAMAN DAN LANDSKAP (ePALM)

Modul ePALM merupakan direktori utama yang mengandungi data sedia ada taman awam dan akan sentiasa dikemaskini. Direktori ini merangkumi semua peringkat dalam hierarki taman awam di Malaysia yang merangkumi taman persekutuan, taman wilayah, taman bandaran, taman tempatan, padang kejiranan dan lot permainan. Melalui pengumpulan data ini, modul ini berfungsi sebagai alat strategik bagi semua pihak berkepentingan untuk memandu perancangan dan pembangunan landskap negara serta sebagai panduan kepada masyarakat awam untuk meneroka taman-taman tersebut.


DIREKTORI PELAN INDUK LANDSKAP (ePIL) 

Modul ePIL merupakan arkib digital dan pusat rujukan utama bagi Kajian Pelan Induk Landskap (PIL) yang disediakan oleh Jabatan Landskap Negara. Dokumen strategik ini bertujuan untuk memandu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merangka serta melaksanakan program pembangunan landskap secara terancang untuk tempoh 10 tahun. Melalui ePIL, semua pihak berkepentingan boleh mengakses dokumen penting ini untuk mendapatkan maklumat perancangan dan pembangunan PBT bagi memastikan pembangunan landskap negara yang mampan dan teratur serta menjadi panduan bagi sebarang cadangan pembangunan landskap di peringkat tempatan.


DIREKTORI PENGGIAT INDUSTRI (eLIND)

Modul eLIND diwujudkan sebagai pangkalan data utama yang menyimpan, mengemaskini dan membekalkan maklumat menggiat semua penggiat industri landskap di Malaysia. Platform ini menyediakan akses mudah kepada maklumat yang komprehensif mengenai produk dan perkhidmatan landskap yang disediakan oleh penggiat-penggiat industri. Pada masa yang sama, ia membuka akses perniagaan yang lebih meluas kepada penggiat industri, sekali gus membantu meningkatkan capaian pasaran semasa.


DIREKTORI PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN LANDSKAP (eREAD)

Modul eREAD merupakan gerbang arkib digital utama Jabatan Landskap Negara bagi hasil penyelidikan, penerbitan serta aktiviti pemuliharaan landskap. Kandungan modul ini yang merangkumi kajian spesifik dan komprehensif, menjadi sumber rujukan utama dan data sokongan yang bernilai tinggi untuk agensi kerajaan, ahli akdemik dan para penyelidik. Koleksi ini akan sentiasa diperkaya dengan kajian-kajian terbaharu bagi memastikan ia kekal relevan sebagai pusat rujukan ilmu landskap negara. Ia juga menyediakan maklumat umum kepada masyarakat untuk lebih mengenali dan membudayakan landskap.


DIREKTORI REKA BENTUK LANDSKAP (eLAD)

Modul eLAD telah dibangunkan sebagai sebuah pustaka digital berpusat yang komprehensif, mengandungi koleksi lukisan rekabentuk, lukisan terperinci dan spesifikasi teknikal untuk komponen landskap lembut (softscape) dan landskap kejur (hardscape). Modul ini berfungsi sebagai rujukan asas dalam menyediakan reka bentuk landskap yang menepati piawaian dan spesifikasi yang tepat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), perunding, kontraktor dan pelajar dalam bidang senibina landskap.



DIREKTORI POLISI LANDSKAP DAN PENTADBIRAN KONTRAK (ePACT)

Modul ePACT berfungsi sebagai sebuah respositori digital yang komprehensif, dibangunkan untuk menghimpunkan akta, dasar, garis panduan dan peraturan serta pekeliling lain berkaitan perkara landskap. Platform ini menyediakan akses berpusat sebagai pusat sehenti (one-stop center) bagi para pengguna termasuk agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, penggiat industri, ahli akademik dan orang awam.



DIREKTORI ENTITI LANDSKAP (eNTITI)

Modul eNTITI adalah sebuah sistem pangkalan data yang dibangunkan untuk tujuan menginventori dan mendokumentasikan sumber serta entiti semula jadi landskap yang memiliki nilai keistimewaan yang tinggi. Ia terdiri daripada sama ada elemen semulajadi, buatan manusia atau kawasan semulajadi yang bernilai tinggi. Fokus utama modul ini adalah pada entiti yang menonjol dari segi morfologi (keunikan bentuk fizikal) atau nilai budaya (kepentingan warisan dan sejarah kepada komuniti setempat). Setiap entiti yang direkodkan di dalam sistem ini menjadi salah satu aset warisan semulajadi landskap negara.


AKTIVITI RAKAN TAMAN (Rakan Taman)

Modul Rakan Taman adalah sebuah platform digital yang berfungsi sebagai respositori utama untuk mendokumentasikan semua laporan dan aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah inisiatif Program Rakan Taman. Platform ini menghimpunkan rekod-rekod lengkap program kerjasama antara Jabatan Landskap Negara (JLN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti di seluruh Malaysia. Selain berfungsi sebagai arkib rasmi, modul ini direkabentuk secara strategik untuk menjadi medium perkongsian ilmu dan amalan terbaik kepada komuniti lain serta memberi inspirasi agensi lain yang berminat untuk menubuhkan dan menggerakkan inisiatif seumpama sekaligus memperkasakan penglibatan awam dalam penjagaan dan pengurusan landskap negara.

Pengenalan Program Rakan Taman

Program Rakan Taman mula diperkenalkan di peringkat Jabatan Landskap Negara pada tahun 2013. Program ini merupakan sebuah program berteraskan kesukarelawan yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat bekerjasama dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, menjaga keindahan dan kebersihan landskap serta taman di kawasan persekitaran yang didiami di samping menjalankan aktiviti perkebunan sebagai aktiviti sokongan. Program ini dilaksanakan selaras dengan Teras 4 Dasar Landskap Negara 2.0 (DLN 2.0) iaitu Pembudayaan Gaya Hidup Landskap. Strategi pelaksanaan Program Rakan Taman adalah dengan menggalakkan gerakan kesukarelawan dalam komuniti untuk melaksanakan usaha-usaha pengindahan, pemuliharaan dan penjagaan kawasan hijau dalam kawasan kejiranan.


MODUL PENGURUSAN PROJEK LANDSKAP (eLAPS)

Modul eLAPS merupakan satu platform digital berpusat yang membolehkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia mengemukakan permohonan projek landskap secara atas talian. Aplikasi di direka khusus untuk memastikan setiap permohonan dihantar dengan lengkap melalui integrasi senarai semak digital yang mandatori, sekaligus mengurangkan kesilapan dan mempercepat proses semakan. Melalui modul ini, ianya dapat memudahkan PBT memantau status permohonan mereka secara masa nyata, daripada peringkat penghantaran sehinggalah kelulusan, sekaligus mewujudkan proses kerja yang lebih telus dan efisien.


Setiap modul dalam sistem eLANDSKAP bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan, penyelenggaraan, dan pembangunan landskap di seluruh negara dengan menggunakan teknologi terkini untuk memastikan kelestarian, efisiensi dan keberhasilan jangka panjang.

 


Hubungi Kami

Bahagian Teknologi Maklumat, 
Jabatan Landskap Negara

Aras 8, Blok F10, 
Kompleks Bangunan Kerajaan Parcel F, Presint 1, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62000 PUTRAJAYA.
Tel.: (603) 8091 0500 
E-mel: elandskap
@jln.gov.my