Carian

Perutusan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara

  • March 12, 2025
  • Informasi
  • 6099

Ucapan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera, dan selamat pagi.

 

Yang Berhormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan,


Dalam era digital, kemajuan sesebuah negara amat bergantung pada keupayaan untuk membina dan memanfaatkan ekosistem digital yang teguh. Selaras dengan itu, agenda pemerkasaan infrastruktur digital dan data menjadi teras utama, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu Strategi Memperkukuh Tatakelola Pendigitalan. Sehubungan itu, Jabatan Landskap Negara (JLN) mengambil langkah proaktif membangunkan Sistem Pengurusan Maklumat Landskap (eLANDSKAP) sebagai Pusat Data Landskap Negara bagi menyokong agenda nasional.

 

Sistem eLANDSKAP direka bentuk bukan sekadar sebagai sebuah aplikasi, tetapi sebagai satu infrastruktur data landskap negara yang menjadi komponen kritikal dalam eskosistem digital nasional. Ia menjawab cabaran data yang tidak bersepadu dan menyediakan akses yang kukuh untuk melonjakkan industri ke arah landskap pintar (smart landscape). Platform ini adalah manifestasi komitmen JLN untuk mentransformasikan pengurusan data landskap daripada amalan konvensional kepada pengurusan yang dipacu oleh data dan teknologi.

 

Struktur eLANDSKAP dibina dengan sembilan (9) modul teras yang berfungsi sebagai saluran pengumpulan dan penyebaran maklumat yang komprehensif:


  1. Direktori Taman dan Landskap (ePALM)
  2. Direktori Pelan Induk Landskap (ePIL)
  3. Direktori Penggiat Industri Landskap (eLIND)
  4. Direktori Penyelidikan dan Penerbitan Landskap (eREAD)
  5. Direktori Rekabentuk Landskap (eLAD)
  6. Direktori Polisi Landskap dan Pentadbiran Kontrak (ePACT)
  7. Direktori Entiti Landskap (eNTITI)
  8. Aktiviti Rakan Taman (Rakan Taman)
  9. Pengurusan Projek Landskap (eLAPS)

Gabungan data daripada sembilan modul ini akan mewujudkan satu aset data strategik yang amat bernilai. Aset inilah yang akan menjadi enjin penggerak kepada pembangunan landskap mampan, membolehkan peralihan daripada pengurusan reaktif kepada pengurusan proaktif yang berasaskan data (data-driven). Analitik data raya (big data analytics) boleh digunakan untuk mengoptimumkan sumber, meramal keperluan penyelenggaraan, meningkatkan data tahan bandar dan mencipta ruang awam yang lebih selamat dan responsif.

 

Penggunaan eLANDSKAP adalah langkah pertama dalam sebuah perjalanan yang lebih jauh. Ia merupakan sumbangan penting JLN dalam penyediaan sebuah platform data landskap berpusat yang bertujuan menjadi sumber rujukan utama bagi semua pemegang taruh. Melalui platform ini jua, kita bukan sahaja membina landskap fizikal yang berfungsi, tetapi juga membina aset data yang komprehensif dan mudah capai sejajar dengan sasaran yang digariskan dalam Dasar Landskap Negara 2.0 (DLN 2.0) iaitu menjadikan Malaysia Negara Mampan melalui pemerkasaan sistem pengurusan data landskap


Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan projek ini. Semoga eLANDSKAP akan terus berkembang dan memberi impak positif yang besar kepada kita semua.

 

Terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

YBhg. Encik Mansor bin Mohamad

Ketua Pengarah

Jabatan Landskap Negara

 

 

Hubungi Kami

Bahagian Teknologi Maklumat, 
Jabatan Landskap Negara

Aras 8, Blok F10, 
Kompleks Bangunan Kerajaan Parcel F, Presint 1, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62000 PUTRAJAYA.
Tel.: (603) 8091 0500 
E-mel: elandskap
@jln.gov.my