Perutusan Ketua Pengarah
Jabatan Landskap Negara
Assalamualaikum warahmatullah & Salam Sejahtera
Untuk kesekian kalinya, saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana sentiasa di beri kesempatan untuk terus hidup dan berkhidmat kepada Tanah Air yang tercinta. Saya sangat berharap agar Negara ini terus dipelihara dan dilindungi dengan segala nilai murni oleh kesemua bangsa agar matlamat Negara Taman dapat dicapai dengan jayanya.
Dalam usaha untuk memastikan Malaysia mencapai status Negara maju menjelang tahun 2020, kita juga pelu memastikan kriteria komuniti membangun dipenuhi supaya kita dapat menikmati segala kemudahan fizikal dan semulajadi dengan secukupnya serta berkesan. Oleh yang demikian, kita mampu untuk terus hidup membina sebuah keluarga yang bahagia di samping dapat membesarkan anak-anak kita di dalam persekitaran hidup yang selamat dan kondusif. Di samping adanya pelbagai pembangunan fizikal di seluruh Negara, kita juga perlu memberi penekanan untuk memajukan dan membangunkan infrastruktur hijau yang dapat memenuhi segala keperluan fizikal, biologi dan psikologi kita.
Usaha ini hanya mampu dicapai melalui pengurusan infrastruktur hijau yang baik dan berkesan dengan berpegang teguh kepada prinsip untuk mengelak atau meminimumkan kesan kacau ganggu terhadap alam sekitar dan sentiasa melaksana perancangan pembangunan berdasar kepentingan alam semulajadi. Secara literal, setiap pembangunan fizikal perlu mempertimbangkan untuk mengambil inisiatif penanaman tumbuhan di dalam pelaksanaanya. Ia meliputi taman, laman, taman poket, padang permainan, kawasan hutan, hutan bandar, kawasan rekreasi, tepian dan koridor sungai, pinggiran pantai, ruang hijau pinggir jalan, kawasan landskap, lebuh hias hijau, persiaran hijau, kawasan semulajadi, habitat semulajadi dan perumahan, tanah pertanian, kawasan perpemandangan indah, kawasan untuk kepentingan sains serta laman atas bumbung.
Kami penuh yakin, dengan segala kepercayaan dan sokongan yang didedikasi oleh semua pihak berkepentingan, kami mampu untuk memberi perkhimatan yang terbaik. Kami juga akan sentiasa berpegang teguh kepada nilai etika profesional dan integriti. Semoga Allah sentiasa memberkati kita dengan segala petunjuk, kesihatan, keikhlasan dan komitmen untuk berkhidmat kepada Malaysia Negara Taman Terindah.
Berkhidmat Dengan Ketulusan,
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara